Perkataan Dajjal sudah termaktub dalam minda setiap muslim bahawa ia berkaitan dengan kejahatan dan manusia akhir zaman. Persoalannya, siapa Dajjal itu? di mana ia tinggal? atau wujudkah dia?. Persoalan ini akan saya cuba rungkaikan iaitu, dia adalah makhluk yang memang wujud, serta kewujudan adalah sebagai makhluk yang bernama manusia bukannya gelaran bagi sesuatu kelompok manusia atau pertubuhan atau fahaman. Ya, ianya memang seorang manusia.
Cuba kita baca hadith di bawah dimana kisah Dajjal dalam hadith dan dialog yang ditutur oleh Dajjal dalam hadith Rasulullah.
Kisah Dajjal dalam hadith
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang mukmin.
“Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.
“Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu tertulis ‘kafir’, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf.
“Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, iaitu panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan hendaklah dia membaca pangkal surah al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.
“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”
“Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, iaitu dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.” Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga.”
Kata Rasulullah s.a.w lagi: “Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi.
“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.
“Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal, kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.”
Dalam hadis yang lain, “di antara fitnah atau tipu daya yang dibawanya itu, Dajjal itu lalu di satu tempat kemudian mereka mendustakannya (tidak beriman kepadanya), maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman mereka tidak menjadi dan hujan pun tidak turun di daerah mereka. Kemudian dia lalu di satu tempat mengajak mereka supaya beriman kepadanya. Mereka pun beriman kepadanya. Maka disebabkan yang demikian itu Dajjal menyuruh langit supaya menurunkan hujannya dan menyuruh bumi supaya menumbuhkan tumbuh-tumbuhannya. Maka mereka mudah mendapatkan air dan tanam-tanaman mereka subur.”
Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Menjelang turunnya Dajjal ada tahun-tahun tipu daya, iaitu tahun orang-orang pendusta dipercayai orang dan orang jujur tidak dipercayai. Orang yang tidak amanah dipercayai dan orang amanah tidak dipercayai.”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Bumi yang paling baik adalah Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal nanti ia dikawal oleh malaikat. Dajjal tidak sanggup memasuki Madinah. Pada waktu datangnya Dajjal (di luar Madinah), kota Madinah bergegar tiga kali. Orang-orang munafik yang ada di Madinah (lelaki atau perempuan) bagaikan cacing kepanasan kemudian mereka keluar meninggalkan Madinah. Kaum wanita adalah yang paling banyak lari ketika itu. Itulah yang dikatakan hari pembersihan. Madinah membersihkan kotorannya seperti tukang besi membersihkan karat-karat besi.”
Diriwayatkan oleh Ahmad, hadis yang diterima dari Aisyah r.a. mengatakan: “Pernah satu hari Rasulullah s.a.w masuk ke rumahku ketika aku sedang menangis. Melihat saya menangis beliau bertanya: “Mengapa menangis?” Saya menjawab: “Ya Rasulullah, engkau telah menceritakan Dajjal, maka saya takut mendengarnya.” Rasulullah s.a.w berkata: “Seandainya Dajjal datang pada waktu aku masih hidup, maka aku akan menjaga kamu dari gangguannya. Kalau dia datang setelah kematianku, maka Tuhan kamu tidak buta dan cacat.”
Dari Jabir bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w bersabda: “Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil tentang agama. Pada zaman Dajjal ada empat puluh hari, yang mana satu hari terasa bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari biasa.”
Ada yang bertanya: “Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?” Rasulullah s.a.w menjawab: “Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu.”
Menurut riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: “Akulah Tuhan sekalian alam, dan matahari ini berjalan dengan izinku. Apakah kamu bermaksud menahannya?” Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya menjadi satu minggu atau satu bulan.
Setelah dia tunjukkan kehebatannya menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: “Sekarang apakah kamu ingin supaya matahari itu berjalan?” Mereka semua menjawab: “Ya, kami ingin.” Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari begitu cepat berjalan.
Menurut riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda: “Akan keluarlah Dajjal kepada umatku dan dia akan hidup di tengah-tengah mereka selama empat puluh. Ini tidak pasti apakah empat puluh hari, empat puluh bulan atau empat puluh tahun. Kemudian Allah mengutus Isa bin Maryam yang rupanya seolah-olah Urwah bin Mas’ud dan kemudian membunuh Dajjal itu.”
Dialog yang ditutur oleh Dajjal dalam hadith Rasulullah.
Hadis riwayat Amir Ibnu Sharahi Hamdan dari Fatimah binti Qais mendengar dari Rasulallah:
Setelah habis eddahku, aku mendengar suara azan lalu aku pun pergi ke masjid untuk bersolat bersama Rasulallah. Aku berada di saf wanita dan berhampiran makmum lelaki. Selepas selesai Rasulallah bersolat, baginda terus berkata:
“Hendaklah kamu semua duduk di tempat solatmu. Tahukah kamu kenapa aku panggil kamu semua ke masjid?” Seorang sahabat menjawab: “Allah dan RasulNya lebih mengetahui.” Lalu baginda menyambung: “Aku menghimpunkan kamu kerana Tamim ad-Dari yang dahulunya seorang Nasrani datang kepadaku dan memeluk Islam. Dia (Tamim) menceritakan satu perkara yang pernah aku ceritakan kepada kamu semua perihal Dajjal.”
“Dia (Tamim) beritahu aku bahawa dia pernah belayar bersama 30 lelaki kabilah Lakhm dan Juzdam. Lalu mereka dipukul ombak selama sebulan sehingga mereka terjumpa sebuah pulau di tengah lautan, tempat tenggelamnya matahari. Mereka kemudian berlabuh di pulau itu. Sesudah mendarat, mereka terkejut didatangi makhluk berbulu tebal, lalu mereka berkata: “Apakah kamu ini?”. Makhluk itu menjawab: “Aku pengintip rahsia (Jassasah)” Mereka bertanya lagi: “Pengintip apa?”. Makhluk itu menjawab: “Tak perlu tanya lagi, pergilah berjumpa seorang lelaki di biara itu kerana dia mahu mendengar berita dari kamu.”
Tiba di biara itu, mereka melihat sebesar-besar manusia yang dirantai. Kedua tangan dipasung ke leher. Kaki dan lutut diikat besi hingga ke buku lali. Kemudia mereka bertanya: “Siapa kamu ini?” Lelaki yang dipasung itu menjawab: “Ceritakan kepadaku tentang kurma di Baisan.” Mereka menjawab: “Ia sudah hampir tidak berbuah lagi.” Lelaki dipasung itu bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan Tasik Thabariya? Apakah airnya masih ada?” Lalu mereka jawab: “Airnya hampir kering.”
Dia bertanya lagi: “Bagaimana dengan nabi orang-orang ummiyin, apa yang dikerjakannya?” Mereka menjawab: “Dia telah lahir di Makkah dan berhijrah ke Yathrib (Madinah).”
Dia bertanya: “Apakah orang-orang Arab memeranginya lagi?” Mereka menjawab: “Ya. Mereka memeranginya.” Dia bertanya lagi: “Bagaimana perlakuan mereka?” Mereka jawab: “Dia (Muhammad) telah banyak mendapat kemenangan, hampir semua orang Arab kini mengikutinya.” Lelaki itu berkata: “Itu benar terjadi?” Mereka menjawab: “Benar. Itu yang benar terjadi”
Lelaki itu berkata: “Kalau mereka mengikutinya, maka itulah yang lebih baik kepada mereka. Sekarang aku mahu beritahu kamu semua. Aku adalah al-Masih ad-Dajjal. Rasanya sudah hampir masa untuk aku diizinkan keluar. Bila aku keluar nanti, aku akan berjalan ke serata muka bumi kecuali Makkah dan Thahibah (Madinah) kerana aku dihalang para malaikat.”
Selepas diceritakan kepada semua yang berada di masjid itu, Rasulallah pun berkata: “Inilah Thahiba yakni Madinah. Bukankah aku pernah memberitahu kamu mengenai (Dajjal) ini? Sesungguhnya kisah yang Tamin ad-Dari sampaikan kepadaku bersesuaian dengan apa yang pernah aku sampaikan pesan kepada kamu. Dajjal itu berada di Laut Shyam atau Laut Yaman, di arah Timur”
Fatimah yang menceritakan kata-kata Nabi itu kemudian berkata kepada Amir: “Itulah yang aku dengar dari Rasullallah.”
Hadis ini menjelaskan tentang satu clue iaitu Dajjal adalah seorang manusia, bukan satu konsep bangsa atau puak. Jika wujud satu puak, ia adalah persoalan lain yang berkait dengan lelaki yang disebut Dajjal ini. Tidak mungkin Nabi s.a.w menyampaikan keterangan yang mempunyai maksud lain, nabi tidak mungkin membuat silap, sedangkan hadis-hadis disampaikan bertujuan bagi menjelaskan sesuatu maksud secara konkrit. Maka, pernyataan bahawa Dajjal adalah manusia juga satu pernyataan konkrit.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar